Telefilem Minit Terakhir (TV9)

Minit Terakhir TV9

Saksikan telefilem Minit Terakhir lakonan Zee Tokan, Ika Farhana, Faiz Tapau, dan Ain Sofea. Telefilem komedi arahan Zamri Zakaria, terbitan produksi Enuja Production Sdn Bhd. Bersiaran pada hari Isnin, 18 April 2016, pukul 8.30 malam hanya di TV9 menerusi slot Skrin Di 9.

JUDUL : MINIT TERAKHIR 
TARIKH / MASA : Isnin, 18 April 2016, 8.30 malam
SIARAN : Slot Skrin di 9 (TV9)
PENGARAH : Zamri Zakaria
TERBITAN : Enuja Production Sdn. Bhd
PELAKON : Zee Tokan, Ika Farhana, Faiz Tapau, Ain Sofea

SINOPSIS MINIT TERAKHR
Menceritakan kisah seorang pekerja bernama Shahrul yang gemar untuk menyiapkan segala tugasannya pada saat-saat terakhir. Shahrul bukan sahaja suka menangguh kerja-kerjanya di pejabat, malah dia juga kerap berbuat demikian dari segi aspek lain. Walaupun begitu, dia tetap mempunyai tahap komitmen yang tinggi ketika menjalankan tugas.

Kehadiran seorang pelajar praktikal, Syakila, yang juga merupakan gadis idaman Shahrul sejak dia berada di universiti lagi, telah membuatkan Shahrul menjadi lebih bermotivasi untuk datang bekerja. Syakila juga ialah seorang gadis jelita yang berasal dari keluarga yang berada.

Pada suatu hari, Kak Ziela selaku pengurus Shahrul telah memberikan dia tugasan untuk menyiapkan kertas cadangan kerja. Seperti biasa, Shahrul menangguh untuk mencetak kertas cadangan kerja yang telah siap.

Sebagai seorang rakan kerja yang baik hati, Aiman seringkali mengingatkan Shahrul tentang kertas cadangan kerja tersebut. Namun, malang tidak berbau. Secara tiba-tiba mesin cetak telah rosak. Oleh kerana takut dimarahi oleh pengurusnya, Shahrul bergegas mencari kedai cetak yang berhampiran. Mungkin nasib baik tidak berpihak kepada Shahrul pada hari itu, ketika Shahrul dalam perjalanan pulang dari mencetak, motornya pula yang rosak di tepi jalan.

Pada keesokan harinya, Shahrul mendapat tahu bahawa Aiman telah dinaikkan pangkat. Oleh kerana tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat oleh pihak atasan, Shahrul mengadu kepada Syakila. Ketika dia sedang bersedih, Syakila mengajak Shahrul keluar secara tiba-tiba. Shahrul sangat gembira dan merasakan Shakila mula menaruh hati terhadapnya. Namun, dia terkejut apabila suatu hari rakannya sendiri, Aiman, menunjukkan gambarnya keluar dengan Shakila.

Sejak itu, Shahrul tidak bersemangat untuk bekerja. Dia telah mengambil cuti selama seminggu untuk menenangkan fikirannya. Adakah Shahrul akan mengubah sikapnya yang buruk itu? Apakah hubungan antara Syakila dan Aiman?