Keliru Ibu (TV1)

Keliru Ibu

Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan telefilem bertajuk ‘Keliru Ibu’ pada 17 Ogos ini, jam 9.00 malam di TV1 yang berkongsi kisah kecelaruan hati seorang lelaki dalam menentukan antara ibu kandung, ibu susu atau ibu angkatnya yang mana patut diutamakan dahulu.

JUDUL : KELIRU IBU
WAKTU SIARAN : Sabtu, 17 Ogos 2019, 9:00 malam
SIARAN TV : TV1 (RTM)
PENGARAH : Jamal Khan
PRODUKSI : Cinemastage Production
PELAKON : Haris Ismail, Sherry Merlis, Zila Bakarin, Fazlina Ahmad Daud, Aprena Manrose, Puteri Adrianna, Gen Darwish

SINOPSIS KELIRU IBU
Kisah Raykal mempunyai dua orang anak yang masih kecil dan gemar mendengar bapa mereka bercerita. Raykal menceritakan kepada mereka tentang beberapa orang ibunya semasa dia kecil dahulu.

Raykal waktu itu berumur dalam lingkungan sepuluh tahun. Dia dijaga dan dibesarkan oleh dua orang wanita. Seorang dipanggilnya ‘mama’ dan seorang dipanggilnya ‘bonda’.

Bonda ialah ibu angkatnya mempunyai sikap yang kuat dan garang. Manakala, mama ialah ibu susunya bersikap pasif, negatif dan gemar merajuk.

Raykal membesar dalam keadaan seorang ibu yang pasif dan seorang ibu yang agresif. Hal ini kadang-kadang menyebabkan Raykal menjadi keliru, sehingga sukar membuat keputusan yang tepat. Walau bagaimanapun, Raykal dapat menggembirakan kedua-dua ibunya kerana telah berjaya dengan cemerlang di universiti.

Pada suatu hari, seorang wanita telah datang mencari Raykal. Selepas itu barulah Raykal mengetahui bahawa wanita itu yang sebenarnya adalah ibu kandungnya yang telah dipenjarakan selama 20 tahun akibat menjadi keldai dadah.

Raykal akan meraikan konvokesyen di universiti dan akan menerima Anugerah Diraja. Dia akan diraikan dan hanya dibenarkan membawa dua orang tetamu. Raykal menjadi keliru dan serba salah kerana dia harus membawa tiga orang tetamu istimewanya, iaitu ibu angkat, ibu susu dan ibu kandungnya.

Akhirnya Raykal mengambil keputusan yang tidak dijangka sama sekali. Tindakannya itu dianggap sebagai yang terbaik dalam memastikan tiada hati yang terluka dengan keputusannya itu. Namun, Raykal memberikan penghargaan yang tinggi kepada semua ibunya dan semua ibu yang lain apabila dia berucap dalam majlis konvokesyen itu.

Siapakah antara ketigatiga wanita yang menjadi pilihan Raykal? Adakah dia memilih ibu angkat dan ibu susu yang selama ini berjuang berkorban menyusukan dan mendidiknya selama ini? Bagaimana pula dengan ibu kandungnya?