Filem Gracias Barcelona bakal menemui penonton bermula 13 Januari ini di Astro First saluran 480. Mempertaruhkan gandingan pelakon Kamal Adli dan Fathia Latiff. Ia mengetengahkan kisah percintaan yang tragis apabila cinta dan kesetiaan dikhianati. Malah, ia turut menyelitkan nilai kesetiaan dan cabaran yang dihadapi bagi pasangan baru dalam menempa alam perkahwinan.
Gracias Barcelona menjalani sesi penggambaran di Barcelona, Sepanyol dan tentunya ia memaparkan sinematografi menarik buat tontonan. Antara lokasi popular yang menjadi latar seperti La Sagrada Familia, Stadium Camp Nou Football, Casa Batllo, Port Olympic Barcelona dan pantai Port Olimpic.
Filem ini turut diiringi dengan lagu tema utama bertajuk ‘Gracias Barcelona’, nyanyian Nadia Hasnan, lirik oleh Leaism dan komposer oleh El Moe Hussaini. Mengikut tema filem, lagu ini turut digubah mengikut rentak Spanish, Flamenco dan Latin.
Saksikan filem romantik drama, Gracias Barcelona yang akan berada di Astro First bermula 13 Januari 2022. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.
Gracias Barcelona
Genre: Drama Romantik
Tarikh Tayangan: 13 Januari 2022
Rangkaian: Astro First 480
Cerita Asal: Mimi Azura Ahmad Tajudin
Skrip: M.F Kencana
Lakon Layar: M.F Kencana
Pengarah: Feroz Kader
Produksi: Azura Pictures Sdn Bhd
Barisan Pelakon
Kamal Adli sebagai Kamal
Fathia Latiff sebagai Fatiha
Afiq Muiz sebagai Adam
Bell Ngasri sebagai Azraf
Lagu Tema OST
Lagu : Gracias Barcelona
Penyanyi : Nadia Hasnan
Lirik : Leaism
Komposer : El Moe Hussaini
Sinopsis Gracias Barcelona
Cinta Kamal dan Fatiha berputik sejak menuntut di Barcelona, namun hubungan tergugat apabila kembali ke tanah air. Dalam usia yang masih muda dan kesempitan hidup, Fatiha tewas dengan ujian dan dugaan alam perkahwinan apabila dia memilih untuk mengejar kesenangan dan godaan orang ketiga. Tinggallah Kamal dengan kasih setia yang terpahat dan tersimpul mati di dalam hatinya.
Kamal bertemu Fatiha di Barcelona, Sepanyol ketika mereka menjadi pelajar di Universiti yang sama. Pertemuan yang pada mulanya tiada membibitkan apa-apa perasaan, akhirnya bertukar kepada rasa cinta. Demi menghalalkan sebuah perhubungan, terutama ketika di negara asing, mereka mengambil keputusan untuk bernikah tanpa pengetahuan keluarga di tanah air. Kasih sayang Kamal terhadap Fatiha terlalu mendalam, tiada yang dapat memisahkan mereka dan sanggup berkorban apa saja demi Fatiha. Kehidupan dan dugaan hidup di negara asing berlainan, tiada dugaan dari keadaan sekeliling atau dari pihak ketiga.
Sekembalinya mereka ke tanahair, Fatiha sedang mengandung. Keluarga yang terasa dipinggirkan kerana tidak diberitahu akan perkahwinan mereka, mula menyisihkan diri. Tidak seperti yang dijangkakan, walaupun Kamal dan Fatiha mempunyai ijazah luar negara, sekembalinya mereka ke Malaysia, mereka masih tidak mendapat peluang pekerjaan yang berpatutan dengan kelayakan mereka. Hiduplah Kamal dan Fatiha dalam serba kesempitan, apatah lagi dengan kehadiran bayi.
Dugaan dan ujian mula mendatang apabila dihimpit kesempitan hidup. Kasih Fatiha terhadap Kamal mula tergugat. Barulah Fatiha rasakan yang dia belum bersedia untuk hidup bekeluarga dan membesarkan seorang bayi dalam usia muda. Naluri mudanya mula mendambakan kesenangan hidup, tidak mahu memikul tanggungjawab membesarkan bayi dan hidup dalam kesempitan dengan suami yang tidak dapat memberinya kesenangan hidup.
Kehadiran kekasih lama Adam menambahkan konflik cinta Kamal dan Fatiha. Fatiha meninggalkan suami dan anak demi mengejar kesenangan hidup, lupa segala janji pada Kamal untuk sentiasa setia hidup bersama dalam susah dan senang.