TV AlHijrah kini sedang menyiarkan sebuah drama yang sarat dengan kisah pilu kehidupan seorang anak yatim piatu di Slot Qalbu. Drama berjudul Mariam ini disiarkan pada setiap Isnin dan Selasa, jam 6 petang. Drama bersiri 13 episod ini adalah terbitan Efficient Action Sdn. Bhd. dan merupakan arahan Saudara Faizal Nadxaman. Beliau turut dibantu oleh barisan penulis skrip iaitu Nik Naemah, Zuli Ismail dan Akmal Nur Amberlynn.
Jangan lepaskan peluang bagi menyaksikan Mariam yang menampilkan barisan pelakon seperti Nor Kasseh Kishreena, Duerra Mitilda Eiroza, Aresya Rania, Sulaiman Yassin, Fiza Abdul Halim dan Lydia Saimon pada setiap Isnin dan Selasa, jam 6 petang hingga 7 malam.
Mariam
Episod: 13
Tarikh Tayangan: 9 Mei 2022
Waktu Siaran: Isnin-Selasa, 6:00 petang
Rangkaian: TV Alhijrah slot Qalbu
Skrip: Nik Naemah, Zuli Ismail, Akmal Nur Amberlynn
Pengarah: Faizal Nadxaman
Produksi: Efficient Action Sdn. Bhd
Pelakon: Nor Kasseh Kishreena, Duerra Mitilda Eiroza, Aresya Rania, Sulaiman Yassin, Fiza Abdul Halim, Lydia Saimon
Sinopsis Mariam
Mengisahkan kehidupan seorang kanak-kanak perempuan yatim piatu yang hidup menumpang kasih sayang keluarga angkat dari sebuah keluarga ke keluarga yang lain. Disebabkan kehilangan kedua ibu bapanya sejak kecil lagi, kehidupan Mariam tidaklah seindah kanak-kanak lain seusianya.
Bukan sahaja berpindah tangan dari sebuah keluarga angkat ke keluarga angkat yang lain, Mariam juga tidak berpeluang menjejakkan kaki ke sekolah kerana kemiskinan keluarga angkatnya selama ini.
Namun begitu, anak kecil ini tidak pernah jemu berdoa memohon kepada Allah agar dia mendapat keluarga angkat yang mampu menghantarnya ke sekolah. Biarlah tidak kaya raya, asalkan dia merasai nikmat menuntut ilmu.
Sewaktu tinggal bersama ibu angkatnya Idah, Mariam meminta kebenaran Idah untuk ke sekolah seperti rakan-rakannya. Namun, Idah yang sedang sarat mengandung tidak mampu untuk menanggung kos kemasukan ke sekolah. Idah memberitahu Mariam yang dia akan dihantar ke rumah saudaranya, Nek Jah di negeri lain. Walaupun sedih, Mariam percaya bahawa sesuatu yang lebih baik menunggunya di sana.
Mariam menaruh harapan yang kali ini dia mungkin akan dapat menjejakkan kaki ke sekolah apabila tinggal bersama Nek Jah.
Nasib benar-benar tidak menyebelahi dirinya. Nek Jah tidak mahu menjaga Mariam kerana dia menyangkakan Mariam adalah anak gadis dewasa dan bukanlah kanak- kanak berusia 9 tahun. Nek Jah bertekad untuk memulangkan semula Mariam ke rumah Idah.
Jiwa Mariam calar balar. Dia merasakan dirinya sangat tidak bernasib baik. Sudahlah berpindah randah dari satu rumah ke rumah yang lain, keinginan dirinya untuk ke sekolah masih samar tiada kepastian.
Apakah kesudahannya setelah Nek Jah tidak mahu memelihara Mariam? Adakah Mariam dapat menggapai impiannya untuk menjejakkan kaki ke sekolah bagi menuntut ilmu?