All Stars Gegar Vaganza

All Stars Gegar Vaganza

Astro meraikan ulang tahun kesepuluh Gegar Vaganza (GV) dengan musim baharu yang terdiri daripada pemenang-pemenang GV terdahulu dalam All Stars Gegar Vaganza.

All Stars Gegar Vaganza menampilkan Ayai Ilusi (GV1), Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3), Aishah (GV4), Noryn Aziz (GV5), Naqiu serta Hady Mirza (GV6), Cliff Umar (GV7), Aliff Aziz (GV8) dan Jaclyn Victor (GV9).

Manakala lima penyanyi dari musim-musim lalu bakal dipilih menerusi undian para peminat bermula 29 Ogos 2023 di laman sesawang www.astrogempak.com/gegarvaganza. Undian akan ditutup pada 10 September 2023, 11.59 malam.

Dengan menampilkan juara-juara sepanjang sembilan musim serta lima pilihan para peminat, ‘GV’ kali ini semestinya lebih sengit kerana para peserta bakal berentap dengan yang terbaik di persada muzik tempatan bahkan nusantara.

Lebih hebat lagi, barisan juri masih diketuai Dato’ Ramli MS yang akan didampingi Datuk Syafinaz Selamat dan penyanyi ikonik Indonesia, Hetty Koes Endang.

All Stars Gegar Vaganza masih mengekalkan format asal penjurian yang diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100% oleh barisan juri profesional. Peserta yang mendapat markah terendah pada setiap minggu akan disingkirkan. Juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM200, 000.

All Stars Gegar Vaganza akan berlangsung selama dua belas (12) minggu dan bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam mulai 24 September, setiap Ahad, jam 9.00 malam, ditayangkan eksklusif di Astro Ria (Saluran 104) dan untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO.

All Stars Gegar Vaganza juga akan ditayangkan secara live di sooka menerusi pelan langganan mudah alih Sports & Entertainment serendah RM1.15 sehari, tanpa kontrak.